LANGKAWI: Kerajaan Sarawak tidak akan memaksa penduduk tempatan menerima projek pembinaan empangan melata di kawasan mereka.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek seumpama itu hanya akan dilaksanakan dengan persetujuan penduduk.
“Kita tidak akan memaksa. Kalau anda tidak mahu, kami terima," katanya ketika berucap di Forum Kepimpinan 2024, di Langkawi.
Abang Johari berkata, pihaknya akan pergi ke kawasan yang penduduknya mahu projek terbabit seperti penduduk Sungai Gat di Kapit.
"Proses perbincangan yang sewajarnya akan dijalankan sekiranya persetujuan diberikan. Jadi saya mulakan (projek) dengan Kapit,” katanya.
Beliau juga menjelaskan konsep penjanaan kuasa hidro dari projek itu tidak akan menenggelamkan kawasan tanah yang luas sekali gus mungkin tidak perlu penempatan semula orang yang terlibat.
Turut hadir di forum itu ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian.